Home / Uncategorized / KL2017: Hoki Berpesta Gol

KL2017: Hoki Berpesta Gol

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak 1975 selepas membelasah Myanmar 14-0 dalam aksi final Sukan SEA 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sepanjang sejarah penyertaan skuad lelaki negara dalam temasya dwitahunan itu, hanya sekali mereka gagal memenangi emas, iaitu pada edisi kedua 1973 di Singapura yang dimenangi tuan rumah.

Pingat gangsa menjadi milik Singapura selepas menang 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di sebelah petang.

Jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen, berkata anak buahnya yakin memenangi perlawanan akhir dan memulakan aksi dengan baik.

“Pemain sudah beraksi di tahap terbaik pada perlawanan ini dengan menyajikan aksi yang menarik, termasuk memanfaatkan setiap peluang yang ada.

“Kita bukan terlalu memburu gol tetapi saya kerah pemain untuk menampilkan aksi sebenar bagi membuktikan kepada penyokong tempatan yang kita berada pada satu tahap berbeza.

“Cuma pada suku ketiga saja kita kurang tajam kerana padang yang basah akibat hujan lebat, namun secara keseluruhan saya berpuas hati,” kata Van Huizen.

Kejayaan itu menjadi lebih bermakna selepas ia turut menamatkan penantian 12 pemain Malaysian Tigers yang meraih pingat emas Sukan SEA buat kali pertama.

Kemenangan skuad hoki lelaki negara membolehkan Malaysia mengumpul tiga daripada empat pingat emas ditawarkan sukan hoki, sekali gus gagal mencapai sasaran empat emas yang ditetapkan MHC.

Malaysia yang turun selaku pasukan pilihan selepas menyusun deretan kemenangan besar dalam peringkat kumpulan, nyata berada dalam kelas berbeza apabila menewaskan lawan di ranking ke-89 dunia itu menerusi hatrik Shahril Saabah dan Faizal Saari.

Baki lapan jaringan lagi disumbangkan masing-masing dua oleh Razie Rahim dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, dengan Fitri Saari, Meor Muhamad Azuan Hasan, Azri Hassan dan Rashid Baharom (satu gol).

error: Content is protected !!